Kisah Ashabul Kahfi (أصحاب
الكهف) merupakan suatu kisah benar
mengenai 7 orang pemuda yang tertidur di dalam sebuah gua. Di dalam Al-Quran,
dari ayat 9 hingga 26; Surah Al-Kahfi, diceritakan kisah beberapa orang pemuda
beriman yang telah melarikan diri ke sebuah gua dan bagaimana Allah سبحانه
وتعالى tidurkan mereka selama
309 tahun.
Jika difikir secara logik akal, maka kisah dan
cerita tentang Ashabul Kahfi termasuk suatu kejadian pelik, luar biasa dan
menakjubkan. Tiada manusia yang dapat menjelaskan bagaimana ada orang yang
boleh tidur sehingga ratusan tahun tanpa makan dan minum. Namun bagi orang yang
beriman dan meyakini Allah سبحانه وتعالى bahawa tiada yang mustahil jika Allah سبحانه
وتعالى mengkehendakinya
demikian.
Allah سبحانه
وتعالى berfirman;
أَمْ حَسِبْتَ أَنَّ أَصْحَابَ الْكَهْفِ وَالرَّقِيمِ
كَانُوا مِنْ آيَاتِنَا عَجَبًا ﴿٩
“Adakah kamu menyangka (wahai Muhammad), bahawa
kisah ‘Ashabul Kahfi’ (penghuni gua) dan ‘Ar-Raqiim’ termasuk antara
tanda-tanda kekuasaan Kami yang menakjubkan?” (Surah Al-Kahfi; Ayat 9)
Dimanakah Terletaknya Gua Ashabul Kahfi
Telah menjadi perdebatan daripada zaman berzaman
mengenai gua dan tempat persembunyian Ashabul Kahfi. Banyak tempat mendakwa
dimana berlakunya kisah ini seperti di Gua di Jabal Qassiyyun, Syria dan Gua di Ephesus (Tarsus), Turki. Namun Gua
Ashabul Kahfi (Kahf Ahlil Kahf) yang terletak di Abu Alanda, kira-kira 7 km
dari pusat bandar Amman, Jordan, merupakan lokasi sejarah yang lebih menepati
ciri-ciri yang dikisahkan di dalam Al-Quran.
Kawasan ini suatu ketika dahulu dikenali sebagai
‘Ar-Raqim’ kerana terdapat kesan tapak arkeologi yang bernama Khirbet Ar-Raqim
di kawasan tersebut. Perkataan ‘Ar-Raqim’ juga disebut di dalam Al-Quran dan
Ahli Tafsir menafsirkan ‘Ar-Raqim’ sebagai nama anjing dan ada menyatakannya
sebagai batu bersurat.
Walau bagaimanapun, Allah سبحانه
وتعالى tidak menunjuk dan
menyatakan dengan jelas di mana tempat sebenar mereka bersembunyi. Sebab
utamanya adalah kerana ia tidak memberi manfaat bagi umat Islam kerana Allah سبحانه
وتعالى hanya mahu hamba-Nya
mengambil iktibar kisah pejuangan tujuh pemuda mempertahankan akidah mereka.
Namun begitu berdasarkan ayat 17 surah al-Kahfi,
dapat kita ketahui kedudukan sebenar pintu gua yang menjadi tempat
persembunyian ketujuh-tujuh pemuda tersebut berada di sebelah utara. Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَتَرَى
الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت
تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ
اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ
وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit,
condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka
ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang
demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa
yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan
beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.”
(Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
Kisah Pembuktian
Ashabul Kahfi bukanlah kisah epik jenaka, dongeng
atau suatu cerita rekaan manusia. Sejarah kejadian tersebut sebenarnya
mempunyai hubungan erat dengan kegelisahan Nabi Muhammad ﷺ. Iaitu semasa ditanya oleh beberapa orang Yahudi untuk
membuktikannya bahawa Baginda memang seorang Nabi Utusan Allah سبحانه
وتعالى.
Orang-orang Yahudi bertanya Rasulullah ﷺ, “Wahai Muhammad! Tolong ceritakan kepada kami tentang kisah 7
pemuda yang rela mengasingkan diri untuk mempertahankan keyakinannya kepada
Allah سبحانه وتعالى. Jika engkau sanggup menceritakan dengan benar, maka kami juga
akan mengikuti ajaranmu dan menjadi sebahagian daripada orang Islam.”
Lalu Nabi Muhammad ﷺ memohon pertolongan pada Allah سبحانه
وتعالى dan selepas 15 hari
kemudian baginda mendapat wahyu tentang penjelasan kisah Ashabul Kahfi atau
cerita mengenai 7 pemuda yang ditanyakan oleh orang Yahudi tersebut. Penjelasan
mengenai kisah Ashabul Kahfi ini terdpat pada Surah Kahfi mulai ayat 9 hingga
26, di dalam kitab suci Al-Quran.
Kisah Ashabul Kahfi
Sebagaimana yang telah dikisahkan turun-temurun.
Pada asalnya penduduk sebuah negeri itu beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى dan beribadat
mengEsakanNya. Namun keadaan berubah selepas kedatangan seorang raja bernama
Diqyanus (Decius).
Raja kufur dari Rom ini, memerintah secara kejam
dan kuku besi. Sesiapa yang menentang keinginan raja, maka samalah seperti
ingin mengakhiri hidupnya lebih awal. Dia memaksa rakyat di bawah
pemerintahannya supaya murtad dari agama Allah سبحانه
وتعالى serta bertukar kepada
agama kufur dan menyembah batu berhala yang dianutinya. Rakyat yang takut
dengan ancaman dan seksaan raja tersebut terpaksa akur dengan arahan yang zalim
itu.
Dalam pada itu terdapat sekumpulan pemuda beriman
enggan tunduk dengan tekanan Raja Diqyanus yang kafir. Di tengah-tengah
kekufuran raja, bangsa dan kaum mereka, kesemua tujuh pemuda tersebut secara
sembunyi-sembunyi tetap beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى. Mereka teguh
mempertahankan aqidah mereka walaupun menyedari nyawa dan diri mereka mungkin
terancam dengan berbuat demikian.
Pengesahan keberimanan pemuda-pemuda ini
dinyatakan oleh Allah سبحانه وتعالى dalam firmanNya;
نَّحْنُ نَقُصُّ عَلَيْكَ نَبَأَهُم بِالْحَقِّۚ
إِنَّهُمْ فِتْيَةٌ آمَنُوا بِرَبِّهِمْ وَزِدْنَاهُمْ هُدًى ﴿١٣
“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal
mereka dengan benar; Sesungguhnya mereka itu adalah pemuda-pemuda yang beriman
kepada Tuhan mereka dan Kami tambahkan kepada mereka hidayah petunjuk.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 13)
Kepercayaan dan keyakinan 7 pemuda ini terus
bertahan sehingga kemudiannya sampai ke pengetahuan raja dan akhirnya mereka
dipanggil mengadap Raja Diqyanus.
Di hadapan raja yang zalim itu, mereka dengan
penuh berani dan bersemangat, petah berhujah mempertahankan iman dan prinsip aqidah
yang mereka yakini. Pemuda-pemuda tersebut mengakui bahawa hanya ada satu Tuhan
yang layak disembah dan diminta pertolongan. DIA-lah Allah سبحانه
وتعالى yang Esa, Yang Maha
Menguasai alam beserta isinya yang kekal abadi dan tidak akan ada sebarang kekurangan,
DIA-lah tempat kita meminta pertolongan dalam susah atau senang, suka mahupun
duka.
Allah سبحانه
وتعالى berfirman dan
menceritakan peristiwa mereka berhujjah;
وَرَبَطْنَا عَلَىٰ قُلُوبِهِمْ إِذْ قَامُوا
فَقَالُوا رَبُّنَا رَبُّ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضِ لَن نَّدْعُوَ مِن دُونِهِ إِلَـٰهًاۖ
لَّقَدْ قُلْنَا إِذًا شَطَطًا ﴿١٤﴾ هَـٰؤُلَاءِ قَوْمُنَا اتَّخَذُوا مِن دُونِهِ
آلِهَةًۖ لَّوْلَا يَأْتُونَ عَلَيْهِم بِسُلْطَانٍ بَيِّنٍۖ فَمَنْ أَظْلَمُ مِمَّنِ
افْتَرَىٰ عَلَى اللَّـهِ كَذِبًا ﴿١٥
“Dan Kami telah meneguhkan hati mereka sewaktu
mereka berdiri (di hadapan raja) lalu mereka berkata (membentangkan dan
menegaskan tauhid): “Tuhan kami adalah Tuhan (yang mencipta dan mentadbirkan)
langit dan bumi; kami tidak sekali-kali akan menyembah Tuhan selain Dia,
sesungguhnya jika kami menyembah yang lainnya bermakna kami memperkatakan dan
mengakui sesuatu yang amat jauh dari kebenaran. Kaum kami ini telah menjadikan
selain Dia sebagai tuhan-tuhan (untuk di sembah). Mengapa mereka tidak
mengemukakan alasan yang terang (tentang kepercayaan mereka?) Siapakah yang
lebih zalim daripada orang-orang yang mengada-adakan kebohongan terhadap Allah سبحانه
وتعالى?” (Surah Al-Kahfi; Ayat
14-15)
Raja Decius dan pengikut-pengikutnya terkejut dan
gagal menjawabnya. Walaupun tidak mampu membalas hujah-hujah yang mantap dari
pemuda-pemuda beriman tersebut, raja yang kufur dan zalim itu tetap berkeras
mahu mereka murtad daripada agama mereka.
Raja Diqyanus menggunakan kekuasaan yang ada
padanya untuk mengancam dan memaksa para pemuda meninggalkan agama mereka, jika
dalam tempoh 2 hari para pemuda tersebut gagal membuat demikian dan tidak mahu
mengubah keyakinan mereka dengan segera, maka mereka akan dimurtadkan secara
paksa atau akan dijatuhi hukum mati.
Ramai ‘mufassirin’ (ahli tafsir) generasi salaf
dan ‘khalaf’ (generasi awal Islam dan generasi yang terkemudiannya) yang
menyebutkan, para pemuda tersebut terdiri daripada anak-anak raja Rom dan
orang-orang terhormat mereka yang bersatu kerana iman. Mereka tidak takut
dengan ancaman itu dan telah bertekad untuk saling bantu-membantu dan
mempertahankan keimanan mereka hingga titisan darah terakhir. Bagi mereka lebih
baik mati menggenggam iman daripada mengikuti jejak raja yang menyekutukan
Allah سبحانه وتعالى.
Oleh kerana sayangkan aqidah dan agama mereka,
pemuda-pemuda tersebut bermesyuarat sesama sendiri untuk mencari satu keputusan
muktamad. Kumpulan pemuda itu akhirnya membuat kesepakatan untuk bersembunyi.
Allah سبحانه
وتعالى berfirman ;
وَإِذِ
اعْتَزَلْتُمُوهُمْ وَمَا يَعْبُدُونَ إِلَّا اللَّـهَ فَأْوُوا إِلَى الْكَهْفِ يَنشُرْ
لَكُمْ رَبُّكُم مِّن رَّحْمَتِهِ وَيُهَيِّئْ لَكُم مِّنْ أَمْرِكُم مِّرْفَقًا
﴿١٦
“Dan oleh kerana kamu telah mengasingkan diri dari
mereka dan dari apa yang mereka sembah selain Allah سبحانه
وتعالى, maka pergilah kamu
berlindung di gua itu, supaya Tuhan kamu melimpahkan dari rahmat-Nya kepada
kamu dan menyediakan kemudahan-kemudahan untuk menjayakan urusan kamu dengan
memberi bantuan yang berguna.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 16)
Akhirnya mereka memutuskan untuk lari bersembunyi
dan berlindung ke suatu tempat tersorok di kawasan pendalaman. Berangkatlah
mereka bertujuh ke kawasan pergunungan bernama Nikhayus. Di situ terdapat
sebuah gua untuk dijadikannya tempat bersembunyi dan di pintu gua itulah mereka
berdoa sebelum memasukinya.
Allah سبحانه
وتعالى berfirman pada ayat 10,
Surah Al-Kahfi;
إِذْ أَوَى الْفِتْيَةُ إِلَى الْكَهْفِ فَقَالُوا
“(Ingatkanlah peristiwa) ketika sekumpulan pemuda
pergi ke gua, lalu mereka berdoa:
doa ashabul kahfi
Menurut para ulama’ Ashabul kahfi (penghuni gua)
yang dimaksudkan dalam ayat di atas, terdiri daripada tujuh orang pemuda
bernama;
Tamlikha
(تمليخا)
Maksalmina (مكسلمينا)
Marthunus (مرطونس)
Nainunus
(نينونس)
Saryunus
(ساريونس)
Zunuwanus (ذونوانس)
Falyastathyunus (فليستطيونس)
Dan semasa dalam perjalanan ke gua itu,
ketujuh-tujuh mereka telah ditemani oleh seekor anjing bernama Qithmir (قطمير). Diriwayatkan juga bahawa Qitmir adalah anjing milik Tamlikha
iaitu salah seorang daripada tujuh orang pemuda tersebut.
Anjing itu turut bersama-sama dengan mereka
berlindung dan bersembunyi di dalam gua tersebut. Oleh kerana keletihan,
ketujuh pemuda ini tertidur sementara si anjing berada di sekitar pintu gua.
Keesokan harinya raja memerintahkan agar segera
membawa para pemuda untuk dihukum mati, tetapi arahan raja kejam ini menemui
kegagalan kerana para pemuda telah menghilangkan diri dan sukar ditemui.
Seluruh rakyat dikerahkan untuk mencari para pemuda yang dianggap menderhaka
itu.
Pencarian
Pencarian pun bermula, mereka diburu oleh para
pembantu setia raja. Mereka bukan sahaja diburu oleh tentera Rom bahkan turut
diberi tekanan oleh penduduk tempatan yang berpegang kuat terhadap agama nenek
moyang mereka. Sesiapa di kalangan mereka yang mampu mencari dan membawa
pemuda-pemuda tersebut ke hadapan, raja telah berjanji untuk memberikan hadiah
dan kenaikan pangkat.
Ada sekumpulan pencari dan pegawai kerajaan yang
akhirnya menemui sebuah gua di kawasan pedalaman. Tetapi oleh kerana gua itu
dianggap sangat menggerunkan, mereka takut untuk memasukinya.
FirmanNya lagi;
وَكَلْبُهُم
بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ مِنْهُمْ
فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“…dan anjing mereka menghulurkan dua kaki depannya
dekat pintu gua. Dan jika kamu melihat mereka, tentulah kamu akan berpaling
melarikan (diri) dari mereka, dan tentulah (hati) kamu akan dipenuhi rasa gerun
takut kepada mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 18)
.
Demi menyenangkan hati raja, para pegawai kerajaan
melaporkan bahawa mereka telah menyusuri semua tempat di negeri tersebut dan
telah menutup sebuah gua dengan tujuan sekiranya para pemuda tersebut berada di
dalam, maka mereka tidak akan boleh keluar dan akan mati kelaparan.
Itulah batas logik manusia yang mempunyai kuasa
dan merasa paling hebat berbanding dengan yang lain, padahal kita semua
mengetahui bahawa terdapat suatu kekuatan yang tidak mungkin boleh ditakluki
oleh kuasa akal dan fikir manusia. Dialah Allah سبحانه
وتعالى yang tak akan
membiarkan orang-orang membuat kerosakan dan penderitaan kepada hamba-hamba
yang dikasihiNya.
Jasad Terpelihara
Sementara itu di dalam gua, kesemua tujuh pemuda
tersebut diberi ketenangan dan keselamatan oleh Allah سبحانه
وتعالى. Mereka telah
ditidurkan oleh Allah سبحانه وتعالى dengan nyenyaknya dalam gua tersebut untuk sekian lama.
Allah سبحانه
وتعالى berfirman tentang
mereka di dalam gua;
فَضَرَبْنَا عَلَىٰ آذَانِهِمْ فِي الْكَهْفِ
سِنِينَ عَدَدًا ﴿١١
“Lalu Kami tidurkan mereka dengan nyenyaknya di
dalam gua itu bertahun-tahun lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 11).
Allah سبحانه
وتعالى ingin menzahirkan
bukti-bukti kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya melalui peristiwa ini. Maka
Allah سبحانه وتعالى telah mentakdirkan pemuda-pemuda ini tidur dalam jangka masa
yang sangat lama iaitu selama 309 tahun: tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli
kitab / Tahun Masihi) dan tambah sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu /
Tahun Hijrah).
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَلَبِثُوا
فِي كَهْفِهِمْ ثَلَاثَ مِائَةٍ سِنِينَ وَازْدَادُوا تِسْعًا ﴿٢٥
“Dan mereka telah tinggal tidur dalam gua mereka
selama tiga ratus tahun (dengan kiraan ahli Kitab), dan hendaklah kamu tambah
sembilan tahun lagi (dengan kiraan kamu) (yakni menjadi 309 tahun).” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 25)
Walaupun mereka tidur amat lama dan tanpa makan
dan minum, tetapi dengan kuasa Allah سبحانه
وتعالى, badan dan jasad mereka
tidak hancur atau rosak. Dengan kuasaNya juga, kedudukan gua tempat persembunyian
ketujuh-tujuh pemuda yang berada di sebelah utara secara tidak langsung telah
memelihara pencahayaan, pengudaraan dan kesegaran tubuh mereka sepanjang 3 abad
itu.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَتَرَى
الشَّمْسَ إِذَا طَلَعَت تَّزَاوَرُ عَن كَهْفِهِمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَإِذَا غَرَبَت
تَّقْرِضُهُمْ ذَاتَ الشِّمَالِ وَهُمْ فِي فَجْوَةٍ مِّنْهُۚ ذَٰلِكَ مِنْ آيَاتِ
اللَّـهِۗ مَن يَهْدِ اللَّـهُ فَهُوَ الْمُهْتَدِۖ وَمَن يُضْلِلْ فَلَن تَجِدَ لَهُ
وَلِيًّا مُّرْشِدًا ﴿١٧
“Dan kamu akan melihat matahari ketika terbit,
condong ke kanan dari gua mereka; dan apabila ia terbenam, meninggalkan mereka
ke arah kiri, sedang mereka berada dalam tempat yang luas dalam gua itu. Yang
demikian ialah dari tanda-tanda (yang membuktikan kekuasaan) Allah. Sesiapa
yang diberi hidayah petunjuk oleh Allah, maka dia lah yang berjaya mencapai
kebahagiaan; dan sesiapa yang disesatkanNya maka engkau tidak sekali-kali akan
beroleh sebarang penolong yang dapat menunjukkan (jalan yang benar) kepadanya.”
(Surah Al-Kahfi; Ayat 17)
Allah سبحانه
وتعالى sengaja memberi ilham
kepada ketujuh-tujuh pemuda tersebut untuk menemui gua tersebut sedangkan
mereka sendiri tidak mengetahui bahawa Allah سبحانه
وتعالى telah menetapkan
aturannya. Bahkan Allah سبحانه وتعالى menyatakan bahawa; jika kita lihat keadaan mereka di dalam gua
itu, nescaya kita tidak akan percaya bahawa mereka sedang tidur. Maha Suci
Allah Yang Maha Bijaksana.
FirmanNya lagi;
وَتَحْسَبُهُمْ
أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ
مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“Dan engkau sangka mereka sedar padahal mereka
tidur; dan Kami balik-balikkan mereka dalam tidurnya ke sebelah kanan dan ke
sebelah kiri (supaya badan mereka tidak dimakan tanah), sedang anjing mereka
mengunjurkan kedua lengannya di muka pintu gua. Dan jika kamu menyaksikan
mereka tentulah kamu akan berpaling dari mereka dengan melarikan (diri) dan
tentulah (hati) kamu akan dipenuhi dengan ketakutan terhadap mereka.” (Surah
Al-Kahfi; Ayat 18)
Kebangkitan
Masa terus berlalu, zaman pun telah berganti dari
beberapa generasi. Kini kerajaan yang dahulu dipimpin oleh raja kejam dan
musyrik telah berubah menjadi sebuah negeri yang maju dan bebas dalam menjalani
keyakinan agama masing-masing.
Apabila sampai tempoh yang ditetapkan Allah سبحانه
وتعالى (300 + 9 tahun),
mereka pun dibangunkan. Pemuda-pemuda tersebut telah terjaga kerana perut
mereka terasa lapar, dan ketika bangun mereka saling bertanya tentang berapa
lama mereka tertidur. Para pemuda menyangka mereka hanya tertidur dalam masa
sehari atau separuh hari sahaja, tanpa menyedari bahawa mereka telah tidur
dalam jangka masa yang amat lama di dalam gua.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَتَحْسَبُهُمْ
أَيْقَاظًا وَهُمْ رُقُودٌۚ وَنُقَلِّبُهُمْ ذَاتَ الْيَمِينِ وَذَاتَ الشِّمَالِۖ
وَكَلْبُهُم بَاسِطٌ ذِرَاعَيْهِ بِالْوَصِيدِۚ لَوِ اطَّلَعْتَ عَلَيْهِمْ لَوَلَّيْتَ
مِنْهُمْ فِرَارًا وَلَمُلِئْتَ مِنْهُمْ رُعْبًا ﴿١٨
“Berkatalah salah seorang di antara mereka: “Sudah
berapa lamakah kamu berada (di sini?)”. Mereka menjawab: “Kita berada (di sini)
sehari atau setengah hari…..” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19)
Atas rasa lapar itu, lalu sebahagian daripada
mereka mencadangkan agar dihantar seorang wakil untuk ke bandar bagi mencari
sesuatu untuk di makanan. Akhirnya mereka memilih pemuda bernama Tamlikha untuk
ke kota Afsus. Kebetulan semasa mereka melarikan diri dulu mereka membawa
bersama bekalan wang perak.
Firman Allah سبحانه
وتعالى menceritakan cadangan
sebahagian dari mereka itu;
وَكَذَٰلِكَ بَعَثْنَاهُمْ لِيَتَسَاءَلُوا
بَيْنَهُمْۚ قَالَ قَائِلٌ مِّنْهُمْ كَمْ لَبِثْتُمْۖ قَالُوا لَبِثْنَا يَوْمًا أَوْ
بَعْضَ يَوْمٍۚ قَالُوا رَبُّكُمْ أَعْلَمُ بِمَا لَبِثْتُمْ فَابْعَثُوا أَحَدَكُم
بِوَرِقِكُمْ هَـٰذِهِ إِلَى الْمَدِينَةِ فَلْيَنظُرْ أَيُّهَا أَزْكَىٰ طَعَامًا
فَلْيَأْتِكُم بِرِزْقٍ مِّنْهُ وَلْيَتَلَطَّفْ وَلَا يُشْعِرَنَّ بِكُمْ أَحَدًا
﴿١٩﴾ إِنَّهُمْ إِن يَظْهَرُوا عَلَيْكُمْ يَرْجُمُوكُمْ أَوْ يُعِيدُوكُمْ فِي مِلَّتِهِمْ
وَلَن تُفْلِحُوا إِذًا أَبَدًا ﴿٢٠
“Maka suruhlah salah seorang di antara kamu pergi
ke kota dengan membawa wang perak kamu ini, dan hendaklah dia lihat manakah
makanan yang paling baik (yakni yang bersih dan halal), maka hendaklah dia
membawa makanan itu untuk kamu, dan hendaklah dia berlaku lemah lembut dan
janganlah sekali-kali menceritakan hal kamu kepada seseorangpun. Sesungguhnya
jika mereka dapat mengetahui tempatmu, nescaya mereka akan melempar kamu dengan
batu, atau memaksamu kembali kepada agama mereka, dan jika demikian nescaya
kamu tidak akan beruntung selama-lamanya.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 19-20)
Lihatlah betapa bersihnya hati dan akhlak mereka.
Walaupun dalam keadaan yang cemas dan sukar serta kelaparan, mereka masih
berpesan kepada sahabat mereka yang ditugaskan ke kota mencari makanan itu
supaya mencari dan memilih makanan yang bersih lagi halal. Ini menandakan
bahawa mereka adalah pemuda-pemuda yang bertakwa kepada Allah سبحانه
وتعالى.
Walaupun Allah سبحانه
وتعالى menyatakan dalam ayat
di atas bahawa para pemuda tadi amat berhati-hati dan berjaga-jaga agar jangan
diketahui orang lain kerana mereka menyangka raja yang memerintah negeri masih
lagi raja kafir yang dahulu, namun Allah سبحانه
وتعالى telah mentakdirkan
supaya berita tentang mereka diketahui oleh hamba-hambaNya yang lain bagi
menunjukkan akan keagungan kekuasaan dan kehebatanNya.
Semasa pemuda-pemuda Ashabul Kahfi itu
dibangkitkan Allah سبحانه وتعالى selepas tidur selama 309 tahun, suasana negeri telah banyak
berubah. Kebetulan Raja dan pemerintah negeri merupakan orang yang beriman
kepada Allah سبحانه وتعالى, begitu juga dengan kebanyakan rakyatnya.
Namun masih terdapat segelintir rakyat dalam
negeri itu yang masih ragu-ragu dan mempertikaikan tentang kebenaran kiamat;
mereka masih ragu-ragu bagaimana Allah سبحانه
وتعالى boleh menghidupkan
orang yang telah mati? Apatah lagi yang telah beribu malah berjuta tahun
lamanya dimakan tanah. Maka bertepatanlah masanya Allah سبحانه
وتعالى membangkitkan Ashabul
Kahfi pada zaman tersebut dan menzahirkan kekuasaanNya kepada hamba-hambaNya
yang masih lagi ragu-ragu.
Firman Allah سبحانه
وتعالى;
وَكَذَٰلِكَ
أَعْثَرْنَا عَلَيْهِمْ لِيَعْلَمُوا أَنَّ وَعْدَ اللَّـهِ حَقٌّ وَأَنَّ السَّاعَةَ
لَا رَيْبَ فِيهَا إِذْ يَتَنَازَعُونَ بَيْنَهُمْ أَمْرَهُمْ
“Dan demikianlah Kami dedahkan hal mereka kepada
orang ramai supaya mereka mengetahui bahawa janji Allah سبحانه
وتعالى menghidupkan orang mati
adalah benar, dan bahawa kedatangan hari kiamat tidak ada keraguan padanya.”
(Surah Al-Kahfi; Ayat 21)
Pendedahan ini berlaku semasa orang ramai
bertelagah sesama sendiri mengenai perkara hidupnya semula orang mati. Allah سبحانه
وتعالى telah mendedahkan
perihal pemuda-pemuda Ashabul Kahfi semasa wakil mereka itu datang ke kota
hendak membeli makanan.
Pemuda yang keluar menuju ke pasar mencari
makanan. Dengan perasaan khuatir dan takut, akhirnya sampai ke kota. Dia berasa
hairan melihat keadaan kota tersebut dan penduduknya yang berubah sama sekali,
tidak seperti ketika ditinggalkan dahulu.
Dalam terpinga-pinga itu, akhirnya sampai juga dia
ke pasar dan menemui salah seorang penjaja makanan. Namun penjual hairan dan
pelik dengan wang yang digunakan oleh pemuda ini. Penduduk kota yang telah
kehairanan melihat keadaan dia dan mereka semakin syak apabila melihat wang
perak yang dibawanya ialah wang yang sudah berzaman tidak digunakan lagi.
Dia telah disyaki menjumpai harta karun lalu
dipanggil penguasa pasar yang sangat bijak. Dalam perbualannya, maka
terbuktilah kepada orang ramai bahawa pemuda itu adalah pemuda yang lari dari
kepungan raja pada tiga abad yang silam. Mereka mengetahui akan peristiwa itu,
daripada cerita yang masyhur dan telah disedia maklum oleh orang ramai. Larinya
pemuda-pemuda itu kerana tidak rela menjual agama mereka kepada raja yang zalim
dan memaksa mereka untuk menyembah batu.
Lalu salah seorang di antara mereka berkata kepada
pemuda tersebut: “Janganlah kamu khuatir kepada raja ganas yang kamu katakan
tadi. Raja itu sudah mati 300 tahun yang lalu. Raja yang memerintah sekarang
ini adalah seorang raja mukmin yang soleh juga baik hati. Raja kami yang sekarang
ini orangnya beriman seperti mana yang kamu imani.”
Barulah pemuda itu sedar dan insaf akan apa yang
sebenarnya sudah terjadi. Dengan ketenangan yang amat jelas serta dengan alasan
dan bukti-bukti yang cukup terang, maka terbuktilah bahawa mereka berada dalam
gua bukan semalam atau setengah hari tetapi sudah tiga abad lamanya.
Orang ramai kemudiannya membawa pemuda tersebut
mengadap raja beriman yang mengambil berat hal agama itu. Betapa terkejutnya
raja ketika pemuda menceritakan siapa dia sebenarnya, raja memeluk pemuda
dengan juraian air mata yang tak terhingga. Seketika suasana istana menjadi
sangat hening dan terharu oleh kehadiran pemuda yang luar biasa tersebut.
Raja yang soleh ini kemudian menjelaskan kepada
pemuda itu bahawa raja kejam Diqyanus telah mati 309 tahun yang lalu. Selepas
mendengar kisah menakjubkan itu, raja lalu mengajak para pembesarnya dan semua
orang yang hadir berangkat ke Gua Ashabul Kahfi bersama wakil pemuda itu, untuk
menjemput dan bertemu dengan kesemua pemuda tersebut, apalagi mereka sedang
menunggu dengan kelaparan dalam gua, di samping ingin mengetahui keadaan di gua
dan untuk mendengar kisah sebenar mereka.
Setelah mereka keluar dari gua itu, mereka
disambut raja dan penduduk negeri. Raja membawa mereka ke dalam istana dan
diberinya tempat di istana yang indah itu. Tidak lama kemudian walaupun raja
berkali-kali meminta agar para pemuda ini tetap tinggal di istana, tapi
kumpulan pemuda tersebut menolak dengan baik dan tetap memilih untuk kembali ke
gua semula.
Para pemuda tadi lalu berkata kepada raja: “Kami
ini sudah tidak mengharap hidup yang lebih panjang lagi kerana kami sudah
melepasi beberapa keturunan dan kesemuanya telah meninggal dunia, malah negeri
dan binaan besar yang dahulu pun sudah runtuh semuanya; yang kami lihat
sekarang ini adalah serba baru. Kami pun puas hati melihat raja dan penduduk
yang hidup di negeri ini sudah sama-sama beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى.”
Di hadapan orang ramai, para pemuda ini
menyarankan supaya mereka hendaklah sentiasa beriman kepada Allah سبحانه
وتعالى, jangan sesekali tunduk
kepada sesiapa yang mengajak pada jalan kesesatan dan kemusyrikan.
Tidak lama kemudian selepas mereka memberi ucapan
selamat tinggal kepada raja dan rakyatnya yang beriman itu. Para pemuda lalu
sama-sama bersujud dan berdoa ke hadhrat Allah سبحانه
وتعالى agar menurunkan
rahmatNya dan agar Allah سبحانه وتعالى mengizinkan mereka pulang ke rahmatullah. Sejurus selepas
mengucapkan doa itu mereka merebahkan badan di tempat pembaringan lalu
menghembuskan nafas mereka yang terakhir dengan tenang dan tenteram.
Termaklumlah bahawa Allah سبحانه وتعالى telah mengambil roh pemuda-pemuda itu dan kembali kepadaNya
untuk selama-lamanya.
Keadaan dan kejadian itu, menjadi asas yang amat
kuat bagi mereka untuk tetap beriman dan tunduk kepada Allah سبحانه
وتعالى, Tuhan yang Maha Kuasa.
Mereka makin percaya bahawa janji Allah سبحانه
وتعالى itu benar belaka dan
Hari Qiamat serta akhirat itupun benar semuanya.
Sepeninggalan para pemuda itu, orang ramai lalu
berbincang bagaimana cara untuk memberi penghormatan sewajarnya agar mereka
sentiasa dapat memperingati pemuda-pemuda suci itu. Ada yang mencadangkan
supaya didirikan sebuah bangunan atau tugu sebagai kenangan. Manakala Raja
mencadangkan agar sebuah masjid (rumah ibadat) dibinakan di sisi gua itu supaya
dari dalam masjid itu orang ramai dapat sama-sama menyembah dan membesarkan
nama Allah dan sentiasa insaf akan kebesaran Allah سبحانه
وتعالى.
Hal ini diceritakan Allah سبحانه
وتعالى dengan firmanNya;
فَقَالُوا
ابْنُوا عَلَيْهِم بُنْيَانًاۖ رَّبُّهُمْ أَعْلَمُ بِهِمْۚ قَالَ الَّذِينَ غَلَبُوا
عَلَىٰ أَمْرِهِمْ لَنَتَّخِذَنَّ عَلَيْهِم مَّسْجِدًا ﴿٢١
“Setelah itu maka (sebahagian dari mereka)
berkata: “Dirikanlah sebuah bangunan di sisi (gua) mereka, Allah سبحانه
وتعالى jualah yang mengetahui
akan hal ehwal mereka”. Orang-orang yang berkuasa atas urusan mereka (pihak
raja) pula berkata: “Sesungguhnya kami hendak membina sebuah masjid di sisi gua
mereka.” (Surah Al-Kahfi; Ayat 21)